Translate

Tuesday, December 11, 2012

KCIRA (empat dari kiri) antara pemain import baharu yang sedang diuji oleh Kelantan.

JUARA trebel musim ini, Kelantan akan menguji dua bintang import baharu mereka, Dimitrios Pertratos dan Lek Kcira selain memastikan pemain-pemain lain berada pada tahap terbaik bagi mengharungi saingan liga musim depan dengan mengadakan perlawanan pramusim menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Penolong jurulatih, Kamaruddin Muhammad berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap berada dalam perancangan untuk diturunkan sama ada dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian pada perlawanan itu kelak.
Menurutnya, selain dua pemain tersebut, seorang lagi bintang import mereka, Keita Mandjou turut diberi peluang untuk mempamerkan aksi bagi memikat pihak pengurusan, sekali gus merebut tempat untuk didaftarkan sebagai pemain import yang beraksi pada Liga Super.
"Ketua jurulatih, Bojan Hodak akan kembali ke Kota Bharu malam ini (malam tadi). Pemain mana yang disenaraikan untuk menentang Kedah akan ditentukan oleh beliau.
"Perlawanan pemanas badan seperti ini amat penting bagi membolehkan kami menilai prestasi semua pemain kerana kita terlibat dalam dua kejohanan besar (Liga Malaysia dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia) musim depan.
"Jadi, inilah peluang buat Hodak memikirkan siapa (pemain import) yang layak beraksi untuk Kelantan dalam dua pertandingan itu. Selepas ini kita akan terbang ke Acheh pula bagi menghadapi Kejohanan Piala Gabenor di sana bermula 14 hingga 22 Disember ini," katanya.
Kamaruddin menyifatkan Pertratos dan Kcira mudah menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh skuad Kelantan.
"Pertratos pula kagum apabila melihat stadium kita dibanjiri lebih 20,000 penyokong meski pun pertemuan Kelantan dengan Perlis baru-baru ini merupakan satu perlawanan persahabatan biasa dan dia perlu menyesuaikan diri dalam suasana stadium seperti itu," ujarnya.
Kedah yang dilatih Marijo Tots beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan turut diperkuatkan dengan pemain import yang tidak asing lagi dari Chile, Nelson Sam Martin serta Chayene Santos (Brazil).
Mengulas mengenai pertemuan malam ini, Kamaruddin menganggap ia perlawanan yang cukup sengit memandangkan Kedah merupakan pasukan yang kuat biar pun beraksi dalam Liga Premier musim depan.
"Mereka tetap pasukan yang hebat meski pun tanpa kelibat Mohd. Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar yang masih bersama skuad kebangsaan.
"Masih ramai lagi tonggak utama seperti Sabre (Mat Abu) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) bermain dengan Kedah,"

Sunday, November 4, 2012

United perlu lebih bernafsu

 
WAYNE ROONEY (atas) mengetuai pemain-pemain United meraikan gol pertama jaringan van Persie (tiga dari kiri) ketika menentang Arsenal kelmarin. Satu lagi gol United dijaringkan oleh Evra.

MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menuntut barisan pemainnya agar lebih 'bernafsu' dalam misi memburu gol ketika mengharungi setiap perlawanan Liga Perdana England musim ini.
Ferguson berkata, ia penting bagi mengelakkan kekecewaan dialami skuad The Red Devils musim lalu berulang.
Musim lalu, Ferguson terpaksa akur apabila hak mereka untuk bergelar juara liga dinafikan pencabar terdekat, Manchester City apabila United ketinggalan menerusi perbezaan satu gol.
Situasi itu telah menyaksikan Ferguson membawa masuk penyerang Belanda, Robin van Persie dan perancang Jepun, Shinji Kagawa bagi mempertajamkan jentera serangan skuad kendaliannya musim ini.
Setakat ini, anak-anak buah Ferguson telah berjaya meledak 38 gol selepas mengharungi 15 perlawanan dalam semua saingan.
Bagaimanapun, pengurus kelahiran Scotland itu kecewa dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menewaskan Arsenal 2-1 di Old Trafford kelmarin.
Ferguson berkata, barisan pemainnya telah mensia-siakan banyak peluang bagi menjaringkan gol biarpun mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.
Saya kecewa dengan persembahan para pemain kerana gagal menjaringkan lebih banyak gol biarpun beraksi di tempat sendiri.
"Saya ada bercakap dengan para pemain pada awal saingan musim ini. Kami (United) gagal bergelar juara liga kerana dibezakan menerusi jumlah gol dan saya tidak mahu ia berulang lagi musim ini.
"Mujur, kami berjaya meledak gol kedua pada pertemuan dengan Arsenal kali ini. Ini kerana, Arsenal berjaya menjaringkan satu gol ketika dalam masa kecederaan," kata Ferguson sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Pada aksi kelmarin, van Persie yang merupakan bekas kapten Arsenal membuka tirai jaringan buat United seawal minit ketiga sebelum tonggak pertahanan, Patrice Evra meledak gol kedua pada ke-67.
Gol tunggal Arsenal dijaringkan oleh Santi Cazorla pada masa kecederaan.

Thursday, November 1, 2012

Nani punca kekalahan United

NANI (tengah) dianggap sebagai punca United tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas tewas 4-5 kepada Chelsea pada pusingan keempat di Stamford Bridge awal pagi semalam.
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menuduh Nani sebagai punca pasukan itu tersingkir daripada saingan Piala Liga.
Ferguson menyuarakan kekecewaan itu selepas skuad The Red Devils tewas 4-5 kepada Chelsea pada aksi pusingan keempat yang berlarutan ke masa tambahan di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Kekalahan tersebut turut meleburkan impian United untuk menewaskan Chelsea buat kali kedua berturut-turut selepas menang 3-2 pada aksi Liga Perdana England, Ahad lalu.
"Kami memberikan mereka (Chelsea) bola untuk menjaringkan gol ketiga. Kami gagal mengawal bola dengan baik pada saat-saat yang penting.
"Apa yang kami perlu lakukan adalah mengawal bola dengan sempurna.
"Nani merupakan seorang pemain berpengalaman tetapi dia sentiasa mahu menewaskan pemain lain. Saya selalu mengalakkan dia melakukannya.
"Dalam situasi ini, sekiranya kami berjaya mengawal bola dengan baik, kami akan menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan.
"Kami banyak melakukan serangan tetapi Chelsea sangat berbahaya apabila melakukan serangan balas yang pantas. Sekiranya kami mendahului 3-23 sehingga ke minit-minit akhir permainan, ia adalah sesuatu yang baik.
"Kami perlu menyalahkan diri sendiri berikutan kekalahan ini," kata Ferguson
Pada perlawanan tersebut, United berada di hadapan seawal minit ke-22 hasil jaringan Ryan Giggs sebelum skuad The Blues berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan penalti, David Luiz (31).
Penyerang Mexico, Javier Hernandez kembali meletakkan United di depan pada minit ke-43 tetapi Chelsea sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan Gary Cahill (52).
United sekali lagi di depan hasil jaringan Nani pada minit ke-59 tetapi kesilapan pemain sayap Portugal itu membolehkan Chelsea mengheret permainan ke masa tambahan apabila Eden Hazard menjaringkan gol ketiga skuad The Blues pada masa kecederaan.
Daniel Sturridge dan Ramires memberi kelebihan kepada Chelsea selepas masing-masing meledakkan satu gol pada minit ke-97 dan 116 sebelum Giggs menyempurnakan sepakan penalti (120) untuk merapatkan jurang.

Wednesday, October 31, 2012

Ferrari tidak mahu tangisi nasib

NEW DELHI - Ketua Ferrari, Stefano Domenicali mengakui bahawa pihaknya gagal memberikan Fernando Alonso jentera terbaik dalam misi memburu kejuaraan dunia perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
 
ALONSO tetap bersemangat memburu kejuaraan dunia F1 musim ini walaupun tidak memiliki jentera yang pantas berbanding pasukan Red Bull.

Bagaimanapun, Domenicali berkata, tidak ada gunanya pasukan itu 'menangis' disebabkan kepantasan jentera yang dimiliki pencabar utama mereka, Red Bull.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Ferrari akan menggunakan kelebihan yang ada bagi membolehkan Alonso memintas kedudukan juara dunia, Sebastian Vettel yang kini mendahului carta kategori pemandu.
Berbaki tiga perlumbaan musim ini, Alonso kini menghuni tangga kedua, ketinggalan 13 mata di belakang Vettel yang mengumpul 240 mata.
"Buat masa sekarang, sudah jelas Red Bull memiliki jentera yang lebih baik berbanding kami. Namun, apa yang kami boleh katakan? Kami tidak boleh menangis dengan situasi itu.
"Sebaliknya, kami perlu bekerja lebih keras. Itu sahaja. Dengan mengatakan bahawa Red Bull lebih kuat, kami tidak perlu menukar pendekatan yang kami gunakan dalam pasukan selama ini.
"Saya ada mengatakan kepada seluruh kru pasukan, pada kempen Piala Dunia 1982, pasukan kami (Itali) bukanlah yang terkuat tetapi masih mampu untuk bergelar juara.
"Kami sangat bertuah kerana memiliki pemandu seperti Alonso yang merupakan pemandu No. 1. Jadi, kami akan terus berjuang sehingga tamat saingan perlumbaan musim ini," kata Domenicali.
Alonso yang merupakan juara dunia dua kali bukan sahaja mahu mengulangi pencapaiannya itu tetapi dia juga sedang berusaha menafikan hajat Vettel untuk muncul sebagai pemandu muda pertama dalam sejarah F1 merekodkan kejuaraan dunia sebanyak tiga kali berturut-turut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini, Alonso optimis mampu merangkul kejuaraan dunia.
Diminta mengulas mengenai sikap optimistik Alonso itu, Domenicali berkata: "Saya juga sentiasa optimistik. Dalam kehidupan, tidak ada gunanya kamu bersikap negatif kerana ia langsung tidak membawa faedah.
"Jika kamu mengambil pendekatan yang betul, kita boleh memaksimumkan kelebihan yang kita miliki.
"Itu yang saya beritahu kepada seluruh kru pasukan. Apabila kamu berjuang, kamu perlu berani untuk menggunakan kelebihan yang ada dengan cara sebaik mungkin."

Chelsea didakwa mahu bunuh karier Clattenburg


CLATTENBURG mencetuskan kontroversi ketika mengadili perlawanan antara Chelsea dan United di Stamford Bridge, Ahad lalu.

 LONDON - Pengendali Leeds United, Neil Warnock mendakwa, Chelsea mahu 'membunuh' karier pengadil, Mark Clattenburg.
Warnock juga menegaskan, Persatuan Bola Sepak (FA) England harus mengambil tindakan tegas terhadap Chelsea jika tuduhan mereka ke atas Clattenburg tidak benar.
Sehari selepas tewas 2-3 kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge, Ahad lalu, Chelsea mendakwa Clattenburg mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap dua tonggak The Blues, John Obi Mikel dan Juan Mata.
Ekoran itu, beberapa pemain Chelsea termasuk Clattenburg telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak FA England.
"Pada pendapat saya, Mark Clattenburg memang bersalah kerana melayangkan kad merah kepada (penyerang Chelsea) Fernando Torres tetapi Chelsea cuba untuk 'membunuhnya' disebabkan perkara itu.
"Saya tidak bersetuju dengan perkara tersebut," jelas Warnock.
Selain Torres, Clattenburg juga melayangkan kad merah kepada tonggak pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic dalam perlawanan tersebut.
Clattenburg turut menimbulkan kontroversi apabila mengesahkan jaringan kemenangan United menerusi Javier Hernandez yang dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.
Menurut Warnock, pengadil ditugaskan untuk mengendali sesuatu perlawanan dengan baik dan itulah yang dilakukan oleh Clattenburg.
"Saya pasti perkara itu tidak dibangkitkan oleh Chelsea jika mereka memenangi perlawanan tersebut.
"Jadi, jika pemain Chelsea gagal membuktikan apa yang dikatakan oleh Mark, saya berharap mereka akan dikenakan tindakan," katanya.
Pandangan Warnock itu turut disokong oleh sebilangan besar pengadil lain yang meminta pihak FA England mengenakan tindakan terhadap Chelsea jika tuduhan mereka tidak benar.
FA England dan pihak polis kini sedang meneliti laporan yang dibuat Chelsea sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Kebangkitan Arsenal

WALCOTT meraikan jaringannya buat Arsenal ketika menentang Reading pada pusingan keempat Piala Liga di Stadium Madejski
READING - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menganggap kejayaan The Gunners ketika membenam Reading 7-5 pada pusingan keempat Piala Liga awal pagi semalam antara memori paling manis dalam kariernya.
Pemain sayap, Theo Walcott menjadi inspirasi kebangkitan dramatik Arsenal dalam pertembungan di Stadium Madejski itu yang menyaksikan 12 gol terhasil.
Selepas ketinggalan 1-4 pada babak pertama, anak-anak buah Wenger menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mengikat kedudukan 4-4 sehingga tamat 90 minit perlawanan.
Kedudukan tersebut menyaksikan perlawanan terpaksa dilanjutkan sehingga ke masa tambahan yang menyaksikan empat gol lagi terhasil.
Kemenangan itu juga sekali gus menjadi suntikan moral terbaik buat Arsenal dalam usaha mereka untuk memburu trofi pertama sejak tujuh tahun lalu.
"Kami berjaya mengelak daripada menerima satu lagi musibah apabila meraih kemenangan yang cukup dramatik hari ini (awal pagi semalam).
"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami.
"Mungkin ia merupakan kemenangan bermakna bagi saya. Inilah Arsenal, selagi masa belum berakhir, kami akan berjuang habis-habisan.
"Meskipun pertandingan ini (Piala Liga) bukan salah satu keutamaan kami tetapi apa yang paling mustahak, kami berjaya menang dan layak ke peringkat suku akhir," kata Wenger.
Pada masa yang sama, Wenger memuji persembahan cemerlang Walcott yang berjaya meledak hatrik pada aksi tersebut.
"Walcott beraksi dengan cukup baik. Saya tahu dia merupakan seorang pemain yang hebat.
"Selain dia, pemain-pemain saya yang lain juga melakukan tugas dengan baik," ujarnya.

Tuesday, October 30, 2012

Pemain tuntut gaji tidak munasabah

IMBAS KEMBALI...Mohamad (kiri) bersalaman dengan Effa Owona pada majlis memperkenalkan pemain Liga Super Negeri Sembilan, tahun lalu


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan pihaknya terpaksa memberi laluan kepada beberapa pemain utama untuk mencari pasukan lain bagi musim depan, selepas tidak dapat memenuhi permintaan kenaikan gaji yang tidak munasabah serta di luar kemampuan persatuan.

Sambil menganggap permintaan mereka sebagai keterlaluan, Mohamad yang juga Menteri Besar, berkata kantung PBNS akan koyak jika mereka memenuhi kehendak pemain itu.


“Sebagai contoh, pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona menuntut kenaikan gaji sehingga AS$300,000 (RM915,599) setahun berbanding sebelum ini hanya AS$120,000 (RM366,239). Selain itu, dia juga menuntut bayaran kontrak AS$100,000 (RM305,199).

“Bagi saya, permintaan itu melampau dan di luar kemampuan persatuan. Malah, kami juga menerima tuntutan gaji tinggi daripada pemain tempatan sehingga menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan mereka memilih pasukan lain,” katanya, semalam.


Effa Owona kini sudah mengikat kontrak setahun bersama skuad Penyu dan tidak diketahui berapa banyak yang dibelanjakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu untuk mendapatkan khidmat penyerang berasal dari Cameroon itu.


Antara pemain utama tempatan skuad itu yang turut beralih angin ke pasukan lain ialah Mohd Shukor Adan yang berpindah ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Farizal Marlias (Perak) dan S Kunanlan (Selangor).

Mengenai pemain import yang bakal menggantikan Effa Owona, Mohamad berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa pemain untuk diuji sebelum diserapkan kerana mahu pemain berkualiti yang diperakui baik di atas kertas dan di padang.


“Kita tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import kerana tidak mahu terperangkap apabila mendapat pemain yang tidak berkualiti,” katanya yang mengesahkan kontrak pemain pertahanan, Marian Farbak, tidak diperbaharui.

Beliau bagaimanapun mengesahkan pemilihan bekas jurulatih kelab Persebaya FC dari Indonesia, Divaldo Elves sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baru dengan keputusan mendapatkan khidmatnya dibuat selepas menilai prestasi dan rekod cemerlang pengendali kelahiran Portugal itu.


Mohamad berkata pihaknya yakin dengan keupayaan Elves bagi menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah yang berpindah ke Perak, bagi menjulang Negeri Sembilan selaku bekas juara dua kali Piala Malaysia.


“Kita sudah meneliti rekod cemerlang jurulatih itu sepanjang membimbing Persebaya FC dan pelantikannya diharap dapat melakar sejarah baru buat Negeri Sembilan.


“Tambahan pula Negeri Sembilan bakal berwajah baru dengan menampilkan ramai pemain muda dari skuad Piala Presiden selain beberapa pemain berpengalaman yang masih kekal dalam pasukan.


“Justeru, Elves diharap dapat menjelmakan sesuatu dalam misi meletakkan reputasi pasukan di tahap yang lebih cemerlang,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Seremban, semalam.


Menurut Mohamad, Elves akan mengikat kontrak selama setahun dan dijangka memulakan tugas dalam masa terdekat.